Adrian teruja membantu Liverpool memenangi Piala Super UEFA dengan mengatasi Chelsea untuk penampilan pertamanya bersama kelab itu.

Menggalas tugas ditinggalkan Alisson Becker yang menderita kecederaan, Adrian menafikan sepakan Tammy Abraham untuk merakamkan kemenangan 5-4 dalam penentuan penalti untuk pemenang Liga Juara-Juara (UCL) itu mengatasi Chelsea di Istanbul, Turki, awal pagi tadi.

Berikutan Alisson dijangka terlepas aksi beberapa minggu akibat kecederaan betis ketika berdepan Norwich City dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu, ini bermakna Adrian akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mencuri perhatian.

Bekas penjaga gawang West Ham itu gembira dapat memberikan impak dalam aksi pertama bersama The Reds selepas barisan kendalian Jurgen Klopp itu terlepas trofi Perisai Komuniti kepada Manchester City, juga melalui situasi penentuan penalti.

"Selamat datang ke Liverpool! Ia minggu yang gila," kata Adrian kepada BT Sport. "Saya gembira untuk pasukan, dengan mereka perkara menjadi mudah.

"Saya gembira dapat memenangi piala ini, saya sangat gembira dengan peminat. Ia adalah perlawanan yang panjang tetapi pada akhirnya, ia menjadi satu penamat yang hebat."

Adrian berpeluang menebus kesilapan awalnya kerana menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Jorginho dalam masa tambahan untuk mengikat kedudukan 2-2 selepas penjaga gol dari Sepanyol itu menjatuhkan Abraham.

Ulang tayang membuktikan terjadinya sentuhan minimum ke atas penyerang itu, namun Adrian tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Stephanie Frappart, yang menjadi pengadil wanita pertama untuk memikul tanggungjawab mengendalikan aksi penentuan kejuaraan membabitkan pasukan lelaki.

"Saya cuba berhenti sebaik sahaja melihatnya. Penyerang itu bertindak bijak," tambahnya.

"Saya memang ada menyentuhnya tetapi dia yang sengaja meluru. Jadi, saya memberitahu pengadil bahawa saya sudah cuba berhenti tetapi tidak mengapalah, itu tidak lagi penting.

"Kami meraih gelaran ini dan perlu menikmati kejayaan malam ini."

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, menerima hakikat bahawa The Reds tidak menampilkan aksi terbaik ketika menentang pemenang Liga Europa itu dengan menyatakan kesukaran dihadapi mereka yang menyebabkan prestasi mereka tidak menentu.

"Kami berdepan kesukaran. Cuaca di sini lembab dan anda tidak akan nampak di kaca televisyen," kata Henderson kepada BT Sport.

"Begitu juga ketika masa tambahan kerana ramai pemain bergelut. Kami cuba mengekalkan penguasaan bola tetapi agak sukar untuk bernafas dengan baik.

"Chelsea merupakan pasukan yang bagus dan ini bukan cara yang terbaik untuk mereka kalah, seperti yang kami lalui dalam aksi Perisai Komuniti. Saya gembira dengan Adrian yang muncul sebagai wira malam ini.

"Kami akan berdepan satu lagi perlawanan penting Sabtu ini (menentang Southampton). Saya gembira dan kami mahu memenangi trofi sebanyak mungkin. Kami akan membawa pulang piala ini dan menikmati kejayaannya dan kami juga perlu fokus kepada pemulihan menjelang perlawanan getir Sabtu ini.

"Kami tidaklah bermain dengan baik tetapi kami tetap berjuang dalam keadaan yang sukar. Ini satu lagi trofi buat kami dan adalah penting untuk terus menang."