Jurgen Klopp memuji kualiti unik yang dimiliki Roberto Firmino sambil mengakui menurunkan Alex Oxlade-Chamberlain dalam kesebelasan utama dalam kemenangan Piala Super UEFA ke atas Chelsea merupakan satu kesilapan.

Oxlade-Chamberlain bermula di sebelah kiri untuk membentuk tiga penyerang serangkai dalam aksi di Istanbul, Turki, awal pagi tadi sebelum digantikan oleh Firmino untuk Liverpool menang 5-4 dalam penentuan penalti selepas terikat 2-2 dengan Chelsea.

Bekas pemain tengah Arsenal berkenaan baru pulih sejak April lalu daripada kecederaan lutut serius dan masih mencari rentak permainan.

Klopp mengakui tersilap percaturan berhubung khidmat Oxlade-Chamberlain, namun menawarkan sokongan kepada tonggak 32 kali untuk England itu dalam usaha mengembalikan prestasi terbaiknya.

"Saya tidak banyak berpesan kepada Ox, saya tidak fikir ia satu keperluan. Bagi Ox, amat penting untuknya mendapat minit permainan. Ia posisi yang tepat untuknya beraksi," katanya dalam sidang akhbar.

"Dia boleh bermain lebih baik daripada yang dilakukannya (hari ini) tetapi kebiasaannya, begitulah situasi pemain yang mengalami kecederaan panjang, mereka perlu mendapatkan semula rentak.

"Dalam latihan, ia sudah ada dan kini ia perlu dilakukan dalam perlawanan kompetitif. Dia mempunyai detik-detik yang baik tapi sudah tentu ia belum cukup berdasarkan kualitinya.

"Saya sedar ia adalah pertembungan yang sangat sengit dan kami perlu membuat keputusan itu tetapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu memberinya tekanan. Jika boleh, kami mahu memberinya peluang untuk menyerlah.

"Dalam posisi itu, tampak jelas dia tidak dapat beraksi seperti yang kami kehendaki, itulah kesilapan saya dan bukannya dia memandangkan saya yang membuat keputusan."

Firmino mencetuskan impak besar sebaik diperkenalkan dengan mencipta gerakan untuk gol penyamaan Sadio Mane, termasuk gol masa tambahan sebelum ia dibatalkan oleh sepakan penalti Jorginho.

Klopp memuji penyerang Brazil itu dan biarpun menegaskan memiliki banyak pilihan di bahagian serangan, pengurus berbangsa Jerman itu mengakui Firmino memainkan peranan berbeza daripada pemain lain.

"Bobby Firmino sangat penting dan Sadio Mane juga boleh bermain di posisi itu selain Divock Origi bermain dengan sangat baik di kedudukan tersebut," katanya.

"Mereka semua mempunyai kekuatan yang berbeza tetapi saya fikir malam ini, ketika lawan mula membaca permainan dan terbiasa dengan apa yang kamu sedang lakukan, maka adalah penting untuk membuat pertukaran dan Bobby membuat perbezaan yang besar kerana dia mungkin berbeza dengan pemain lain yang ada di dunia ini di kedudukan itu. Ia banyak membantu kami.

"Baginya, ini satu perlawanan yang sangat sengit. Kami tidak merancang untuk mempertaruhkannya untuk 80 minit tetapi dia terpaksa mengharunginya. Dia agak bergelut kerana dia tidak mengharungi kempen pramusim dan sudah seminggu tidak beraksi.

"Ia mencetuskan sedikit masalah kepada kami. Ini adalah perlawanan kompetitif ketiga yang mendorong kami untuk memerah keringat di atas padang selepas melalui pramusim dengan prestasi yang tidak menentu."

Menurut pengurus itu lagi: "Kami sedar perlu memperbaiki banyak aspek lagi tetapi dalam masa yang sama, banyak perkara baik yang berlaku.

"Kami boleh beraksi dengan lebih baik lagi tetapi untuk malam ini, kami memburu kemenangan dan kami menjayakannya. Ia satu langkah yang amat besar dan untuk itu, saya sangat gembira. "