Piala Super UEFA: Lampard ramal Pulisic jadi tunjang utama 

Oleh Staff Writer 15 Ogos 2019 925
Piala Super UEFA: Lampard ramal Pulisic jadi tunjang utama 
Pengurus Chelsea, Frank Lampard, melaungkan amaran bahawa bintang muda baru mereka, Christian Pulisic, memiliki potensi besar selepas tumpas kepada Liverpool dalam Piala Super UEFA.

Pulisic diturunkan untuk aksi sulungnya bersama Chelsea tetapi kalah 4-5 dalam penentuan penalti selepas masa tambahan berakhir seri 2-2 dalam aksi di Istanbul, Turki, awal pagi tadi. 

Pemain bernilai £58 juta (RM293.2j) daripada Borussia Dortmund itu bergandingan dengan Olivier Giroud untuk gol pembukaan pada minit ke-36 selain jaringan pemain antarabangsa Amerika Syarikat (AS) itu dibatalkan akibat ofsaid sebelum menuju waktu rehat. 

Susulan Eden Hazard kini di Real Madrid, semua mata mula tertumpu kepada Pulisic yang mendorong Lampard untuk menghamburkan pujian terhadap penyerang berusia 20 tahun itu. 

"Saya gembira dan banyak lagi (aksi hebat Pulisic) yang akan menyusul," kata Lampard kepada pemberita.

"Dia menepati jangkaan. Dia muncul sebagai pemain baru yang penting buat kami tetapi anda perlu ingat, umurnya baru 20 tahun ketika beralih ke liga yang baru dan turun dalam perlawanan ini dengan menentang Liverpool yang merupakan salah sebuah pasukan yang paling sukar dihadapi. 

"Dia memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan rentak tetapi sebaik dia dapat melakukannya, anda boleh lihat keyakinannya untuk membawa bola dan aksi ligatnya. 

"Saya sangat gembira dengannya. Ada banyak, banyak lagi potensinya yang akan menyusul. Dia menunjukkan petanda yang baik untuk berjaya di kelab ini."

N'Golo Kante yang diturunkan turut memberi kesan besar di bahagian tengah untuk The Blues bangkit daripada kekecewaan 0-4 di tangan Manchester United dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal minggu ini.

Diselubungi masalah kecederaan menjelang aksi Piala Super itu, pemain Perancis berkenaan kelihatan selesa mempamerkan prestasi dominan untuk mengekang pemenang Liga Juara-Juara (UCL), Liverpool, selepas hanya memanaskan bangku simpanan di Old Trafford.

"Dia merupakan pemain yang menakjubkan dan memiliki karakter yang hebat, dia hanya mahu beraksi," kata Lampard. "Dia seorang yang sentiasa merendah diri tetapi di lapangan, dia adalah mesin.

"Sudah tentu, dia akan menjadi watak yang sangat penting. Dia tidak dapat mengikuti latihan manakala pergelangan kakinya bengkak Selasa lalu, namun dia tetap berkeras untuk beraksi hari ini dan akhirnya dia mengharungi 120 minit perlawanan.

"Sudah pasti dia akan beraksi dengan lebih baik lagi kalau bukan kerana faktor tidak dapat mengikuti latihan. 

"Saya menghormatinya sebagai pemain dan saya kini berasa seronok untuk bekerjasama dengannya. Dia akan menjadi sandaran kami."

Skuad bekas pemain tengah England itu bakal menyambut kunjungan Leicester City, Ahad ini, lalu dia menyambung: "Saya sangat gembira dengan prestasi Jorginho dan Emerson, saya fikir mereka telah beraksi dengan begitu hebat sekali.

"Apatah lagi apabila memikirkan mereka beraksi dalam tempoh 120 minit selepas bermain penuh Isnin lalu. Jadi, Liverpool lebih segar berbanding kami. 

"Mereka antara tunjang utama pasukan, saya gembira dengan prestasi kesemua anak buah saya, tiada seorang pemain pun yang beraksi hambar hari ini, semuanya memberikan segala-galanya."






 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen