Piala Super UEFA: Lampard bangga anak buah beri tentangan hebat 

Oleh Staff Writer 15 Ogos 2019 4036
 Piala Super UEFA: Lampard bangga anak buah beri tentangan hebat 
Frank Lampard bangga dengan prestasi Chelsea dalam pertembungan Piala Super UEFA tetapi akur terlalu pahit untuknya menelan kekalahan kepada Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti. 

Keputusan seri 2-2 di Istanbul, Turki -- dalam pertembungan sesama kelab Inggeris yang julung kali terjadi -- menyaksikan perlawanan itu berakhir dengan pemenang Liga Juara-Juara (UCL) berkenaan menjulang kejuaraan dengan kemenangan 5-4 dalam penentuan penalti, awal pagi tadi. 

The Reds menyempurnakan lima tendangan mereka sementara sepakan Tammy Abraham digagalkan oleh ketangkasan Adrian. 

Chelsea, bagaimanapun, mempamerkan satu persembahan jitu di bawah kendalian pengurus baru itu biarpun sempat dibelasah 0-4 oleh Manchester United dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), Isnin lalu. 

"Selepas aksi EPL yang lalu, malam ini kami di tahap yang berbeza dan kami tidak bernasib baik untuk  menang," kata Lampard kepada BT Sport. "Kami akan mengharungi tiga perlawanan selepas ini sebelum rehat antarabangsa dan kami akan cuba memenanginya. 

"Secara keseluruhannya, saya berasa bangga.. Saya si kalah yang teruk dan terburuk di dunia, namun saya gembira dengan prestasi pasukan memandangkan kami tidak bernasib baik. Pemain saya memperagakan corak permainan yang bersemangat, kemahuan dan usaha yang tinggi.

"Pihak lawan mempunyai tempoh rehat lebih dua hari daripada kami (selepas mengalahkan Norwich City), jadi mereka mempunyai lebih banyak waktu untuk pemulihan dan kadang-kadang bola sepak juga memerlukan elemen nasib.

"Mason Mount dan Tammy Abraham memberikan dimensi berbeza sebaik dimasukkan, cuma nasib tidak memihak mereka untuk mencetak gol. Tammy tidak perlu berasa kecewa kerana itulah asam garam menjadi pemain handalan."

Abraham terlebih dahulu memenangi penalti yang dimanfaatkan Jorginho untuk mengikat kedudukan 2-2 lalu mengheret aksi itu ke penentuan penalti. 

Namun, sepakan pemain berusia 21 tahun itu dari jarak 12 ela diselamatkan oleh kaki kanan Adrian, sekali gus membuka laluan kepada Liverpool untuk meraikan kejayaan. 

"Saya telah memberitahunya supaya usah bimbang," kata Lampard mengenai penggempur itu. 

"Saya juga pernah gagal dalam sepakan penalti, oleh itu sesiapapun boleh gagal tetapi apa yang saya mahu lihat adalah keyakinan pemain muda untuk tampil menggalas tugas tersebut. 

"Begitupun, semua orang asyik bercakap mengenai pemain muda di Chelsea, mari kita bercakap tentang sumbangan Jorginho dan (N'Golo) Kante, saya juga boleh menamakan beberapa pemain yang lain.

"Kami mempunyai kumpulan pemain yang berkualiti. Mereka ini sangat bagus dan kami bekerja keras. 

"Saya cuba menerapkan corak permainan yang saya hajati dan ada banyak perkara baik yang berlaku malam ini."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen