LIVERPOOL 2 CHELSEA 2
(Liverpool menang penentuan penalti 5-4)

Jurgen Klopp gembira dengan kelibat Adrian selepas penjaga gol itu muncul wira untuk membantu Liverpool menjulang Piala Super UEFA dengan menundukkan Chelsea.


Adrian membuat satu-satunya aksi menyelamat dengan menampan sepakan Tammy Abraham dengan kaki dalam penentuan penalti untuk menang 5-4 selepas kedua-dua pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terikat 2-2 dalam aksi di Istanbul, Turki, awal pagi tadi.

Berikutan kecederaan betis yang ditanggung bintang mereka, Alisson Becker, Adrian membuat penampilan pertamanya untuk The Reds dan pemain dari Sepanyol itu melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan ia menggembirakan Klopp.

"Adriaaaan! Seperti Rocky," pengurus Liverpool itu memberitahu BT Sport, merujuk kepada filem tinju terkenal yang dibintangi Sylvester Stallone.

"Kisah yang hebat. Dia langsung tidak gentar.

"Dia selesa di dalam bilik persalinan, saya tidak fikir dia memenangi banyak trofi dalam hidupnya, jadi ini satu kejayaan yang hebat buatnya.

"Dia melakukan beberapa aksi menyelamat yang luar biasa, kedua-dua penjaga gol melakukannya, jadi saya sangat gembira baginya."

Liverpool ketinggalan menerusi ledakan Olivier Giroud sebelum gol berganda Sadio Mane mengatasi mereka dalam masa tambahan.

Bagaimanapun, sepakan penalti Jorginho pada minit ke-101 membolehkan The Blues mengheret perlawanan ke babak penentuan penalti.

"Ia adalah satu perlawanan yang sangat sukar buat kedua-dua pasukan, kedua-duanya ingin menang dan akhirnya, kami berjaya," katanya lagi.

"Tiada sesiapa pun di stadium mahukan aksi ini berlanjutan sehingga ke masa tambahan. Saya tidak pasti tentang penalti itu dan tiada siapa yang pedulikannya ketika ini.

"Kami bermula dengan baik dan kemudian ketinggalan. Kita boleh boleh bercakap tentang bola sepak ketika ini tetapi ia sudah terlambat. Kami perlu berjuang dan barisan pemain berjaya melaksanakannya."