Jurgen Klopp mencabar pemain Liverpool untuk "terus tamak" apabila mereka berhasrat meneruskan kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu dengan kejayaan dalam Piala Super Eropah.

The Reds menikmati musim 2018-19 yang mengagumkan dengan mengalahkan Tottenham 2-0 dalam final UCL dan hanya satu mata di belakang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Mereka akan berdepan juara Liga Europa, Chelsea, dalam Piala Super, awal pagi Khamis ini, justeru Klopp menggesa pemainnya agar menunjukkan keinginan yang sama untuk meraih gelaran yang menjadi elemen penting dalam kempen mereka sebelum ini.

Apabila ditanya oleh UEFA.com tentang bagaimana pasukannya boleh membina kejayaan mereka, beliau berkata: "Terus bersikap tamak, itu sangat penting. Saya tiada keraguan tentang hal itu tetapi jelas sekali kami perlu berbuat demikian.

"Selepas perlawanan akhir UCL, ramai orang yang mengucapkan syabas kepada kami sepanjang empat minggu dan ia situasi yang membanggakan, tidak kira ke mana kami pergi.

"Ia sesuatu yang bagus tetapi perkara seperti ini akan mengendurkan (kemahuan) kamu dan ia boleh merampas sedikit kuasa anda.

"Kami bukan seperti ini tetapi hakikatnya, ia boleh berlaku. Kami sekurang-kurangnya perlu mengulanginya dan setelah melakukan beberapa perkara yang tidak bagus, kami perlu melakukan yang lebih baik lagi."

Klopp menetapkan sasarannya untuk memenangi trofi lain sambil mengakui Piala Super bukanlah hadiah yang menjadi perhatiannya sejak dulu memandangkan beliau pernah tewas ketika mengemudi The Reds dan Borussia Dortmund dalam final.

"Piala Super itu sendiri bukanlah satu trofi yang saya gemar untuk saksikan sebelum ini memandangkan saya sering mara ke final (UCL atau Liga Europa)," katanya.

"Piala Super merupakan bukti; sekiranya anda tidak beraksi dalam perlawanan ini, ini bermakna anda gagal memenangi perlawanan akhir," katanya.