Skuad B-18 Malaysia berpeluang untuk menamatkan saingan di tempat ke-12 dalam saingan Piala Sanix selepas merakamkan kemenangan 6-0 ke atas Qing Shi, hari ini.

Dalam aksi berdepan wakil Taiwan itu, dua gol jaringan Syahmi Zamri, T. Saravanan serta satu gol Ahmad Nur Rahman Rasid dan Alif Safwan Sallahudin membenarkan skuad negara merakam kemenangan kedua di Fukuoka, Jepun.

Bagi Syahmi, Qing Shi tidak menunjukkan tahap permainan seperti kelab remaja Jepun lain dalam saingan kali ini.

"Qing Shi kurang memberikan tekanan berbanding kelab remaja Jepun yang lain. Dalam perlawanan ini, kami berjaya mengatur langkah serta menggunakan ruang untuk mencipta jaringan," kata Syahmi.

Sementara itu, jurulatih, Bojan Hodak, kini mahu memastikan barisan muda negara menamatkan saingan di tempat ke-12 dan memberi gambaran akan menurunkan barisan terbaik untuk perlawanan penentuan tempat ke-12 hingga 13, esok.

Barisan muda negara gagal meraih tempat kesembilan apabila tewas 4-3 menerusi sepakan penalti kepada Igashi Fukuoka selepas kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga 11 pada pagi tadi.

"Kami akan cuba memenangi perlawanan esok dan mengakhiri saingan dengan kemenangan," ujarnya.