Piala Sanix: Puas tapi belum cukup, kata Hodak

Oleh Staff Writer 17 Mac 2019 412
Piala Sanix: Puas tapi belum cukup, kata Hodak
"Puas tapi belum cukup," itu luahan Bojan Hodak selepas pasukannya mengharungi Kejohanan Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun, dengan menamatkan saingan di tangga ke-12 daripada 16 pasukan.

Hodak kini dalam proses untuk memilih pemain-pemain yang bakal diserapkan ke dalam skuad B-19 kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan AFF (Ogos) dan juga kelayakan Kejohanan AFC, penghujung tahun ini.

Walaupun tewas lima daripada enam perlawanan serta dibolosi 14 gol dengan hanya dua jaringan dihasilkan, Hodak tetap berpuas hati kerana kualiti pasukan lawan jauh lebih baik.

Jurulatih itu turut berpandangan sebilangan pemain sudah mula menunjukkan kematangan, terutama ketika berdepan corak permainan pantas kelab-kelab terbaik Jepun.

"Secara keseluruhannya saya gembira.

"Sesetengah daripada pemain Malaysia mempunyai kualiti, jika tidak mereka tidak akan berada di sini.

"Persoalannya, bilakah waktu paling sesuai untuk menyerap pemain B-18 ini dalam pasukan B-19 kerana pentas ini untuk melahirkan pemain pasukan kebangsaan. 

"Kalau kita dedahkan mereka terlalu awal, ia menjurus kepada unsur negatif  dalam pembangunan mereka.

"Aksi berdepan Australia,Vietnam dan Thailand yang memiliki kekuatan fizikal dalam Kejohanan AFF kelak mungkin masih terlalu awal buat mereka," kata Hodak.

Sementara itu, kemampuan skuad negara meraih tempat ke-12 berbanding ke-13 tahun lalu tambah ceria dengan pemilihan Luqman Hakim Shamsudin dalam kesebelasan terbaik kejohanan.

Luqman dipilih berdasarkan penilaian yang dibuat ketua-ketua jurulatih pasukan yang beraksi dalam kejohanan itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen