SEKOLAH TINGGI OHZU 1 MALAYSIA B-18 0

Skuad B-18 negara menanggung kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan A, Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, selepas kecundang 0-1 di tangan Sekolah Tinggi Ohzu, hari ini.


Jaringan daripada Ren Uetsuka dalam babak kedua sudah cukup untuk Sekolah Tinggi Ohzu menafikan kemenangan pertama skuad negara -- yang tewas dua perlawanan pembukaan kepada Aumori Yamada (0-2) dan Sagantosu Youth (0-5).

Separuh masa pertama berlangsung seimbang dengan percubaan daripada kedua-dua pasukan.

Malaysia turut berpeluang untuk memecah kebuntuan awal menerusi gandingan Luqman Hakim Shamsudin dan Hazim Abu Zaid, namun tiada sebarang jaringan terhasil.

Malaysia mengendurkan asakan dalam babak kedua dan situasi itu membuka peluang buat Sekolah Tinggi Ohzu mengatur serangan.

Hanya empat minit diperlukan Uetsuka untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-39 -- dalam perlawanan yang berlangsung 35 minit setiap separuh masa.

Kekalahan terbaru itu menyaksikan Malaysia terkeluar daripada saingan selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan A tanpa sebarang mata.