Penganjur Piala Sanix tidak menolak kemungkinan Malaysia akan terus mendapat jemputan untuk saingan tahun depan walaupun penampilan sulung skuad B-18 negara kali ini gagal menempatkan diri dalam kalangan lapan pasukan terbaik.

Menurut Penolong Pengurus Yayasan Sanix, Toshiyuki Watanabe, setiap tahun penganjur akan menghantar jemputan kepada beberapa persatuan bola sepak kebangsaan, dengan harapan mereka menghantar barisan remaja terbaik.

Bagaimanapun, beberapa negara jemputan sebelum ini kerap tidak menghantar wakil terbaik mereka.

Meskipun skuad B-18 Malaysia gagal mara jauh, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar sebuah skuad remaja kebangsaan serta tetap mempamerkan potensi dalam penyertaan sulung mereka.

"Kami amat menghargai sokongan FAM dengan menghantar sebuah skuad remaja kebangsaan. Kerana itu, saya tidak menolak kemungkinan akan menghantar jemputan kepada FAM tahun depan," kata Watanabe.

Skuad muda Malaysia juga memberikan saingan baik kepada kelab-kelab remaja Jepun meskipun gagal mara jauh kali ini.

Watanabe turut mengakui saingan Piala Sanix yang memasuki edisi ke-16 kali ini kerap menjadi tumpuan pencari bakat kelab-kelab Liga J.

"Ramai pencari bakat setiap tahun, begitu juga dengan saingan kali ini dan anda melihat sendiri kehadiran mereka meninjau bakat dalam saingan Piala Sanix.

"Musim lalu, pemain remaja FC Tokyo, Takefusa Kubo, beraksi di sini. Kini dia sudah pun berada dalam skuad utama dalam saingan Liga J," katanya.

Piala Sanix diasaskan pemilik Global Arena, mendiang Shinichi Munasa, pada 2002 yang bertujuan menghimpun juara kelab remaja di seluruh Jepun bersaing bersama empat pasukan jemputan antarabangsa.