Selepas Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak melebarkan sayap dalam kerjaya bola sepaknya di Jepun, kini Malaysia bakal menyaksikan seorang lagi pemain muda akan mengikuti jejaknya beraksi bersama kelab Jepun.

Lukman Hakim Shamsudin sudah diintai lima kelab di Jepun yang berminat menawarkan peluang buatnya.

Menurut Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, iaitu pihak yang bertanggungjawab membawa skuad remaja negara ke Piala Sanix 2019, lima kelab terbabit sudah pun mula mengintai khidmat Luqman selepas Kejohanan AFC B-16 pada 2018.

Ketika itu, Luqman muncul penjaring terbanyak kejohanan dan kedatangannya ke Fukuoka, Jepun kali ini mengundang pasukan pencari bakat mereka berkunjung ke Global Arena.

"Luqman tersenarai dalam kesebelasan terbaik kejohanan atas pilihan barisan jurulatih kejohanan ini dan ini bermakna dia sudah bersedia.

"Kemampuannya diiktiraf dan prestasinya telah dinilai oleh Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).

"Kami gembira sekiranya dia berminat untuk beraksi di Jepun dan terpulang kepadanya untuk menyertai Liga Jepun, saya gembira untuk membawanya ke sini," ujar Hamada.

Menurutnya, pihaknya akan membantu Luqman dengan membawa pemain itu menjalani sesi ujian bersama kelab terbabit dan akan menanggung semua kos perbelanjaan.

Kini semuanya bergantung kepada Luqman dan kenyataan daripada pemain kelahiran Kelantan itu menjurus kepada nada positif.

"Saya sememangnya memasang hajat untuk mengikut jejak Hadi Fayyadh.

"Saya memang berminat untuk bermain di luar negara.

"Saya tidak kisah untuk beraksi di Jepun, Vietnam mahupun Thailand asalkan dapat beraksi di luar negara," ujar Luqman.