Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, tetap kekal dengan pendirian bahawa sistem bola sepak negara sedang menghadapi masalah kritikal, terutama melibatkan kelompok pemain remaja.

Pandangan itu disuarakan pengendali kelahiran Croatia itu dalam persiapan Piala Sanix 2019 ekoran kekurangan kualiti pemain.

"Saya tidak tahu apa yang diperkatakan oleh Timbalan Presiden (Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Wira Yusof Mahadi) dan saya tidak peduli," demikian reaksi Hodak.

"Saya tidak gentar dengan apa yang saya telah saya katakan. Sistem pembangunan di Malaysia adalah langkah silap, kalau tidak Malaysia pasti sudah berada dalam Piala Dunia.

"Malaysia tidak mampu untuk layak ke Piala Asia, jadi apa langkah yang betulnya?

"Sistem pembangunan untuk pemain dalam lingkungan 12 sehingga 17 tahun adalah salah tetapi Malaysia bernasib baik.

"Sebelum berusia 12 tahun, ibu bapa sering membawa anak-anak mereka mengikuti permainan bola sepak.

"Tetapi apabila mencecah umur 13 tahun, ia lingkungan umur yang memerlukan mereka beraksi dengan lebih kerap tetapi malangnya tiada kelab yang mencukupi untuk berlatih.

"Beritahu saya kelab mana yang menyediakan kemudahan untuk pemain berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun.

"Croatia mempunyai empat juta penduduk tetapi muncul naib juara Piala Dunia 2018. Ini kerana Croatia mempunyai lebih 1,000 kelab dan setiap kelab mempunyai program pembangunan.

"Di Croatia, anda tidak boleh menubuhkan kelab kalau tiada program pembangunan remaja tetapi di Malaysia, kelab ditutup selepas dua-tiga bulan sehingga pemain tidak bayar gaji, namun tiada siapa yang peduli.

"Jadi, inilah yang patut diubah," ujar Hodak.

Skuad B-18 tewas 3-5 kepada Yamanashi Gakuin dalam penentuan penalti petang tadi selepas aksi sepanjang 70 minit itu buntu tanpa jaringan untuk aksi penentuan klasifikasi kesembilan dan ke-10 Piala Sanix 2019.

Kempen di Fukuoka, Jepun, diteruskan esok apabila skuad B-18 akan beraksi dalam penentuan klasifikasi ke-11 dan 12.