Penyerang merangkap ketua pasukan skuad B-19 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, menyifatkan keinginan tinggi pemain untuk merakamkan kemenangan sebagai faktor yang membolehkan mereka menewaskan kelab remaja Russia, Izorets Inkon FC, 3-1 dalam aksi penentuan tempat ke-12 dan 13 Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, semalam.

Hadi Fayyadh muncul wira pasukan dengan meledak hatrik dalam aksi berdepan Izorets.

Namun, dia menegaskan tidak mungkin dia merakamkan jaringan hatrik sekiranya rakan sepasukan tidak tampil dengan aski terbaik.

"Pujian harus diberikan kepada rakan-rakan yang lain.

"Mereka berjuang habis-habisan pada hari ini (semalam) kerana ini merupakan aksi terakhir kami di sini.

"Baguslah kami mula konsisten dan mula membiasakan diri dengan aksi peringkat antarabangsa," kata penyerang yang mewakili Johor Darul Ta'zim II itu.

Dalam perkembangan sama, pengendali negara, Bojan Hodak, berpuas hati dengan barisan pemainnya.

Bagi Hodak, aksi dengan Izorets lebih sukar berbanding pertemuan dengan Qing Shi, sehari sebelumnya.

"Ini perlawanan yang sukar memandangkan ramai pemain yang kepenatan.

"Taktikal dan disiplin pemain sangat teratur.

"Ini perlawanan terakhir dan kami mahu menang. Pemain mencipta banyak peluang dan kami pula lebih segar daripada pihak lawan," katanya.