Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kesal dengan kenyataan ketua jurulatih skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara, Bojan Hodak, yang menyalahkan sistem pembangunan bola sepak negara selepas pasukannya tersingkir daripada saingan Piala Sanix 2019 di Jepun.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menyifatkan ia sebagai satu kenyataan tidak bertanggungjawab untuk menutup kegagalannya melepasi saingan peringkat kumpulan kejohanan selama empat hari bermula semalam di Fukuoka, Jepun.

Beliau berkata sebagai seorang jurulatih profesional yang mempunyai pengalaman luas, Hodak tidak seharusnya membuat kenyataan melulu menyalahkan sistem, sebaliknya beliau mempunyai pilihan untuk menyuarakan pandangan kepada Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.

“Barisan pemain dipilihnya adalah merupakan produk sistem pembangunan bola sepak negara dan sebelum ini kenapa beliau tidak mempersoalkan mengenainya apabila berjaya menjulang Piala AFF B-19 2018 tetapi apabila kita mengalami kekalahan kali ini, kita menyalahkan sistem.

“Kenyataan seperti itu tidak patut keluar daripada seorang jurulatih profesional dan kita amat kesal dengan apa yang Bojan lontarkan. Hodak sepatutnya mencari jalan untuk selesaikan sebarang masalah atau berbincang bersama Peter,” kata Yusoff.

Terdahulu, Hodak menyifatkan kelewatan pemain negara mula berlatih secara serius selain kekurangan pendedahan perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa menjejaskan kualiti pasukannya sehingga gagal mara ke peringkat suku akhir.

Malaysia tewas dalam tiga perlawanan awal, iaitu 2-0 kepada Sekolah Tinggi Aomori Yamada dalam aksi pertama, diikuti 5-0 di tangan Sagantosu FC dan 1-0 kepada Sekolah Tinggi Otsu.

Yusoff berkata FAM akan menuntut penjelasan Bojan berhubung kenyataan itu sebelum memutuskan sebarang tindakan terhadap pengendali berusia 47 tahun dari Croatia itu.

“Kita melihat perkara ini secara serius dan akan berbincang mengenai tindakan yang perlu diambil. Tetapi FAM juga menuntut penjelasannya mengenai kenyataan itu,” katanya.

-- BERNAMA