Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, kesuntukan masa untuk mempersiapkan pasukannya menjelang Kejohanan AFF B-19, Julai depan.

Skuad kendaliannya itu kini berada di Fukuoka, Jepun, dalam Kejohanan Piala Sanix 2019.

Justeru, dia mahu pemainnya menggunakan kejohanan itu sebagai pentas terbaik untuk memantapkan pasukan.

Hodak mendedahkan misi skuadnya kali ini adalah mendapatkan keserasian dalam penampilan kali kedua mereka dalam pertandingan itu ekoran menyenaraikan pemain daripada Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Kuantan, termasuk penjaring terbanyak kejohanan AFC B-16, Luqman Hakim.

Ujian pertama skuad B-19 adalah bertemu Aomori Yamada High School dan Sagan Tuso Youth di Global Arena, esok.

"Ini merupakan kali pertama Aorimori Yamada akan menyertai sesuatu pertandingan dan seperti kami, mereka perlukan aksi ujian.

"Dan kami akan mengharungi Kejohanan AFF B-19 Julai depan selain kelayakan Kejohanan AFC B-19, September depan.

"Barisan pemain perlu menyesuaikan diri dengan taktikal saya dan kami tiada pilihan lain lagi kerana setiap perlawanan adalah sukar.

"Seperti yang saya katakan, pemain perlu sesuaikan diri dengan permainan dan segalanya," ujar jurulatih kelahiran Croatia itu.

Dalam masa yang sama, Hodak berharap Malaysia mampu meraih kedudukan yang lebih baik berbanding edisi tahun lalu apabila mereka menamatkan kempen di tempat ke-12.

Aksi esok akan disusuli ujian berdepan Otsu High School, Jumaat ini, dan sekiranya layak ke peringkat kalah mati, mereka akan beraksi keesokannya sementara aksi final akan berlangsung Ahad ini.

Selain itu, skuad Hodak itu akan ke Osaka bagi menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Cerezo Osaka, Rabu depan.