Pertahanan kanan skuad B-18 negara, Arham Kushairi Abdul Wahab, mengakui terkilan gagal membantu skuad negara menewaskan Higashi Fukuoka dalam penentuan tempat ke-9 hingga 11 Piala Sanix apabila tumpas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, hari ini.

Pemain skuad belia Terengganu itu adalah antara pemain negara yang konsisten dalam saingan Piala Sanix dan turut cemerlang mengukuhkan benteng pasukan berdepan Higashi yang berakhir 0-0 selepas tamat masa penuh perlawanan.

Namun, Arham gagal menyudahkan sepakan penaltinya yang menyaksikan barisan muda negara tewas. Turut gagal menyempurnakan sepakan ialah Muhammad Alif Safwan.

"Ini merupakan kali pertama sya mengambil sepakan penalti di pentas antarabangsa. Saya akan menggunakan pengalaman ini untuk memperbaiki kelemahan pada masa akan datang," kata Arham.

Sementara itu, pengendali skuad B-18 negara, Bojan Hodak, turut kecewa dengan kekalahan kepada Higashi.

Bagaimanapun, Hodak berasa pemain muda menyerlahkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan di Fukuoka.

"Kami bermain dengan baik daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami memiliki beberapa peluang untuk mencipta jaringan tetapi segala pengalaman di sini adalah yang terbaik buat masa depan bola sepak Malaysia," kata Hodak.