Keningau melangkah ke separuh akhir Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kinabatangan di Stadium Penampang, hari ini.

Gol tunggal Rimin Epin pada minit ke-80 sudah cukup untuk meletakkan pasukan daripada Zon Pedalaman Atas itu di kedudukan teratas Kumpulan A dengan enam mata selepas turut memenangi aksi pertama bertemu Sipitang, sebelum ini.

Berbaki satu perlawanan, enam mata sudah menjamin kedudukan juara edisi 2013 itu di dua tempat teratas yang diperuntukkan untuk ke separuh akhir dan menjadikan perlawanan terakhir mereka menentang Kuala Penyu esok sebagai pelengkap jadual.

Satu lagi tempat ke separuh akhir dari Kumpulan A akan menjadi rebutan di antara Kinabatangan dan Sipitang.

Sipitang dan Kinabatangan masing-masing mengumpul tiga mata manakala Kuala Penyu sudah sah tersingkir daripada persaingan selepas gagal mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan.

Dalam saingan Kumpulan B, Tawau menewaskan Kota Kinabalu 2-1 di Stadium Likas, petang tadi.

Mereka kini mendahului Kumpulan B dengan enam mata, sekali gus mengiringi Keningau ke separuh akhir.

Satu lagi tempat ke separuh akhir dari kumpulan itu menjadi rebutan di antara Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Peluang bagaimanapun lebih terarah kepada Kota Belud yang menewaskan Kota Marudu 1-0 untuk mengumpul empat mata berbanding Kota Kinabalu yang hanya mengutip satu mata.

Kota Marudu pula tersingkir selepas gagal mengutip sebarang mata.

Kota Belud akan menamatkan saingan peringkat kumpulan esok menentang Tawau manakala Kota Kinabalu menentang Kota Marudu.