Satu jaringan pada setiap babak membantu Terengganu FC (TFC) III memulakan saingan Piala Presiden dengan kemenangan 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.

Seawal minit kedua, Sarawak, terlebih dahulu melakukan serangan menerusi percubaan jarak jauh Tengku Muhammad Hallfi Tuanku Zainal yang tepat ke dakapan Mohamad Shafawi Mohamad.

Hanya dua minit kemudian, tuan rumah mendahului hasil sepakan percuma Mohammad Aqil Irfanuddin yang mengelirukan penjaga gol lawan, Andy Nicholas Anak Nipen, untuk bola menerjah jaring.

Pemain sayap TFC III, Mohd Zarulizwan Mazlan, hampir menggandakan jaringan pada minit ketujuh, namun voli menarik dilakukan pemain itu tersasar ke sebelah tepi pintu gol.

Pelawat terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain apabila Rivaldo Adrill Anak Wilson Rentap dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-16 gara-gara kekasaran ke atas Abdul Halim Hamzah.

Kelebihan seorang pemain menyaksikan TFC III tampil agresif menambah gol yang bagaimanapun menyaksikan percubaan Muhammad Izzan Syahmi pada minit ke-20 dan 42 sekadar menggegar palang.

Gol kedua tuan rumah hadir pada minit ke-61 melalui Mohd Zulkhairi Mohd yang menanduk kemas sepakan penjuru Zarulizwan.

Pasukan pelawat yang sesekali melakukan serangan balas terpaksa akur dengan kekebalan pertahanan tuan rumah, sekali gus pulang ke Kuching dengan tangan kosong.