TERENGGANU 2 NEGERI SEMBILAN 0

Juara bertahan Piala Presiden, Terengganu FC (TFC) III, kembali ke landasan kemenangan selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 di Kuala Terengganu, petang tadi.


Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu hanya memerlukan 20 saat untuk mendahului menerusi tolakan mudah Wan Mohd Fazli Wan Ghazali dari jarak dekat.

Fazli meneruskan naluri pemusnahnya apabila menanduk masuk sepakan percuma Syaiful Haqim Shahrul untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat TFC III pada minit ke-20.

Negeri Sembilan cuba memperkemaskan rentak dan hampir mengurangkan defisit gol pada minit ke-33, namun voli menarik Asmaie Alias tersasar ke sebelah tepi.

Hasrat Fazli untuk mencipta hatrik tidak kesampaian dengan penjaga gol lawan, Ayyub Hakimi Afendi, pantas menyelamatkan situasi satu lawan satu pada minit ke-53.

Seminit kemudian, pintu gol TFC III nyaris bocor, mujur tandukan bek tengah Negeri Sembilan, Muhd Luqman Zailani, tinggi melepasi sasaran.

Bagaikan menghidu keletihan tuan rumah, Negeri Sembilan melancarkan serangan yang menyaksikan bola kuisan Muhd Syafiq Yusof (m-79) dikeluarkan di atas garisan gol.

Ketumpulan penyudah terus mengecewakan pelawat selepas sepakan percuma S. Gevanesh ditepis penjaga gol, Syed Nasrullah Syed Bidin, pada minit ke-83.

Kedudukan 2-0 berjaya dipertahankan TFC III sehingga wisel penamat untuk mencerahkan peluang ke suku akhir dengan berbaki tiga perlawanan.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)