Skuad Piala Presiden Terengganu FC (TFC) III mengesahkan kedudukan empat teratas Kumpulan B selepas menang 2-0 ke atas pasukan tangga tercorot, PDRM, dalam aksi di Padang Pulapol, Kuala Lumpur, petang tadi.

Turun selaku pendahulu kumpulan, TFC III bermula garang dan berpeluang mendahului seawal minit keenam namun Abdul Halim Hamzah gagal menyudahkan hantaran lintang Mohd Zarulizwan Mazlan dari sebelah kiri.

TFC III dikejutkan dengan serangan balas tuan rumah tiga minit kemudian mujur sepakan bebas pemain PDRM, Mohamad Asharul Norasrizam, mengenai pemain mereka sebelum tinggi melepasi sasaran.

Gol pembukaan pelawat terhasil pada minit ke-20 menerusi Engku Nur Shakir Engku Yacob yang menyempurnakan gerakan satu dua untuk mudah menewaskan penjaga gol PDRM, Mohd Sufian Hassan.

Tiada gerakan berbahaya dari kedua-dua pasukan selepas itu dengan PDRM memperkemaskan rentak di babak kedua untuk cuba mengimbangi keputusan perlawanan.

Usaha mereka terus buntu menyaksikan jentera serangan diketuai Mohamad Akram Hasan gagal mengatasi benteng pertahanan TFC III yang dikemudi ketua pasukan, Mohammad Aqil Irfanuddin.

Engku Nur Shakir hampir menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya melalui sepakan percuma menarik pada minit ke-59 malangnya tersasar ke sebelah kiri pintu gol.

Pemain gantian, Mohamad Raimi Syahir Muhamad, memberikan ruang bernafas buat TFC III dengan gol kedua pasukannya pada minit ke-84 selepas melakukan rembatan kencang di dalam kotak penalti.

Kemenangan diraih memastikan TFC III terus unggul di kedudukan teratas mengumpul 38 mata dari 17 perlawanan sekaligus mara ke suku akhir.