TERENGGANU FC III 0 PJ CITY FC 0

Terengganu terselamat daripada diaibkan selepas P. Yugan mensia-siakan peluang terakhir dalam aksi suku akhir pertama Piala Presiden di Kuala Terengganu, petang tadi.


Penyerang PJ City FC itu hampir saja mencetak gol tunggal dalam masa kecederaan, namun rembatannya di depan pintu gol melambung tinggi untuk perlawanan berkesudahan 0-0.

PJ City turun lebih garang pada awal permainan dengan memaksa penjaga gol tuan rumah menepis sepakan percuma Nasrol Amri Kamarol Azhar seawal minit pertama.

Pintu gol Terengganu terselamat lagi pada minit ke-27 apabila Syed Muhd Nasrulhaq Syed Bidin menafikan percubaan berturut-turut daripada Yugan serta M. Jaihind.

Tuan rumah yang juga juara bertahan tampak semakin tertekan dan hanya menguji kubu pelawat menerusi percubaan leret Wan Mohd Fazli Wan Ghazali pada minit ke-32.

Penjaring kedua terbanyak liga dengan 14 gol itu kemudian melakukan voli menarik empat minit sebelum rehat hanya untuk ditumbuk keluar Muhd Aqil Abdul Razak.

Kemasukan penyerang, Abdul Halim Hamzah, hampir membuahkan hasil buat Terengganu, malangnya percubaan rendahnya pada minit ke-65 sekadar sipi ke sebelah kiri sasaran.

Ketika Terengganu menambah tekanan dalam masa kecederaan, PJ City melancarkan serangan balas dan memperoleh sepakan percuma di sebelah kanan.

Berpunca bola muntah sepakan diambil Nasrol Amri itu, tindakan penyudah Yugan gagal memberikan kemenangan buat PJ City, sekali gus menamatkan aksi dengan 0-0.