Piala Presiden: Nik Azli jadi penyelamat Kelantan  

Oleh Farizal Yusoff   9 Mac 2018 2164
Piala Presiden: Nik Azli jadi penyelamat Kelantan  
Jaringan masa kecederaan, ketua pasukan, Nik Azli Nik Alias, menyelamatkan Kelantan daripada kekalahan kedua berturut-turut apabila terikat 1-1 dengan Kedah dalam aksi ketiga Kumpulan A, Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.
 
Sebelum itu, skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu ketinggalan apabila penyerang Kedah, Aminuddin Abu Bakar, menanduk masuk menewaskan penjaga gol The President Warriors (TPW), Mohammad Fikri Che Soh, pada minit ke-13.
 
Tersentak dengan jaringan awal pelawat, TPW cuba bangkit mencari gol penyamaan melalui ketua pasukan, Nik Azli, namun sepakan kencangnya di dalam kotak penalti terus ke dakapan penjaga gol Kedah, Wan Mohamad Syazmin Wan Mohamad Ruzaimi, pada minit ke-36.
 
Dalam babak kedua, TPW meningkatkan serangan dan berjaya mendapatkan sepakan percuma yang diambil bekas penyerang Liga Super Kelantan, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, malangnya tersasar pada minit ke-60.
 
Melalui satu serangan balas pada minit ke-76, Kedah hampir menggandakan kedudukan, namun sepakan deras penyerang, Muhamad Fikhri Zulkiflee, berjaya dihalang penjaga gol TPW, Mohammad Fikri.
 
Rezeki masih berpihak kepada TPW untuk berkongsi mata apabila sepakan percuma yang diambil oleh pertahanan, Muhammad Syaiful Alias, ditanduk masuk Nik Azli menewaskan Wan Mohamad Syazmin pada masa kecederaan.
 
Pengurus TPW, Wan Badri Wan Omar, jelas gembira dengan sikap pemainnya yang tidak mudah menyerah kalah biarpun Kedah sudah berada di ambang kemenangan
 
“Pujian kepada semua pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi. Biarpun ketinggalan di awal permainan, namun mereka bangkit mencari gol penyamaan di minit akhir untuk berkongsi mata.
 
“Semangat positif ini yang kami perlukan dan kami akan membuat persediaan untuk menghadapi Pahang, Isnin ini,” katanya.
 
Untuk rekod, keputusan seri ini meletakkan TPW di tangga ketujuh liga dengan empat mata hasil daripada tiga perlawanan.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff  

Komen