Piala Presiden: Lima gol Afiq benam Melaka United

Oleh Farizal Yusoff   13 April 2018 4670
Piala Presiden: Lima gol Afiq benam Melaka United
Kelantan menamatkan pusingan pertama Kumpulan A, Piala Presiden dengan nada ceria apabila membelasah Melaka United 5-1 di Stadium Sultan Muhammad IV,  petang semalam.

Turun dengan misi bangkit daripada kekalahan 4-1 kepada pendahulu liga, Sabah, The President Warriors (TPW) menguasai keseluruhan permainan tanpa memberi peluang kepada Melaka.

Lebih mencuri perhatian penyokong, penyerang muda, Afiq Saluddin meledakkan lima gol sebelum Melaka mendapat jaringan sagu hati melalui Mohd Shahrul Fadhli pada minit ke-81.

Afiq membuka pesta jaringan TPW melalui rembatan kencang seawal minit ke-10 sebelum menambah dua lagi ( m-32) dan (m-36) untuk Kelantan selesa mendahului 3-0 dalam babak pertama.

Dalam babak kedua, Afiq jelas sukar dikawal pertahanan Melaka apabila menambah dua jaringan lagi pada minit ke-67 dan 70.

Ketua jurulatih TPW, Zahasmi Ismail, jelas gembira dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya sambil menyifatkan sentuhan penyudah penyerang simpanan, Afiq, cukup menjadi.

"Alhamdulillah, pujian kepada semua pemain yang beraksi dengan baik untuk kembali mencatatkan kemenangan selepas tewas di Likas.

"Biapun tanpa penyerang utama ( Nik Azli Nik Alias), namun Afiq cukup mencuri perhatian dengan lima gol," katanya.

Kemenangan mudah ke atas Melaka ini membolehkan TPW berada di tangga kelima liga dengan 18 mata hasil daripada lima menang dan tiga keputusan seri.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff  

Komen