TFC III 0 AMD B-17 2

Kecemerlangan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman membantu Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-17 mengejutkan juara bertahan, Terengganu FC (TFC) III 2-0 dalam aksi pembukaan Piala Presiden, petang tadi.


Pintu gol AMD B-17 mula diuji pada awal permainan menerusi sepakan jarak dekat Amirul Syazwan Nor Azmi dan Muhammad Haziq Fauzi, namun dinafikan Sikh Izhan.

Turun selaku tuan rumah, TFC III dihidangkan peluang terbaik pada minit ke-23 tetapi sepakan Amirul Syazwan sekadar mengenai tiang gol.

Sikh Izhan terus mempamerkan aksi selaku penjaga gol negara selepas menepis tandukan Muhammad Amir Ashraf disusuli tindakan susulan Muhammad Haziq pada minit ke-25.

Lima minit kemudian TFC III menggandakan serangan, malangnya tandukan Muhammad Alif Zakaria (m-30) hasil sepakan penjuru Amirul Syazwan tepat ke dakapan Sikh Izhan.

Aksi selepas rehat terus dikuasai TFC III yang menyaksikan Sikh Izhan sekali lagi menafikan usaha penyerang tuan rumah, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, pada minit ke-46.

Berpunca serangan balas dari sebelah kiri, AMD B-17 mengejutkan TFC III pada minit ke-54 yang menyaksikan Harith Naem Jaineh mudah menjaringkan gol pertama pasukannya.

Penyerang AMD B-17, Luqman Hakim Shamsudin (m-81) memusnahkan hasrat TFC III untuk bangkit dengan gol kedua hasil kesilapan penjaga gol tuan rumah.

Nasib malang TFC III berterusan apabila Muhammad Azarul Jaffri mensia-siakan sepakan penalti pada minit ke-90 dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat.