Jurulatih skuad B-21 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan tiada nama nama besar seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid mahu pun Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam persiapan pasukan menjelang saingan Piala Newspaper di Vietnam yang akan berlangsung penghujung tahun ini.

Kelayakan Olimpik yang bakal bermula Mac depan menjadi medan utama Kim Swee ketika ini.

Bagaimanapun, untuk permulaan, aksi dalam Piala Newspaper yang merupakan persediaan awal pembentukan skuad Olimpik Tokyo 2020 hanya mempertaruhkan pemain di peringkat Piala Presiden dan Sukan Malaysia (Sukma) semata-mata.

Tiada nama besar yang akan mengisi pelan awal Kim Swee selain pemain B-19 negara juga dalam persediaan penting skuad Bojan Hodak menghadapi Kejohanan AFC B-19 Tahun yang akan bermula bulan depan.

"Pemain-pemain utama skuad B-23 tahun tidak akan dipanggil menyertai kejohanan ini kerana telah menyertai banyak perlawanan bersama pasukan masing-masing," kata Kim Swee.

Kejohanan AFC B-23 Tahun yang akan bermula Mac depan mempertaruhkan tiket pemburuan slot ke Sukan Olimpik 2020, dengan syarat perancangan lebih awal mampu menjamin peluang lebih cerah untuk Malaysia.

"Selepas berakhirnya Kejohanan AFC B-19, saya akan mula memanggil pemain-pemain yang bakal menjalani latihan bersama pasukan," katanya.