Ketiadaan ramai pemain utama bukan sahaja membuka ruang kepada bakat-bakat baru untuk menyerlahkan kemampuan bersama skuad B-21 negara, malah menjadi platform untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka mengikuti falsafah pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

Jurulatih penjaga gol, Kris Yong Wai Hong, mengakui skuad yang akan dibawa ke Piala Newspaper di Vietnam bulan depan hanya sebagai medan menguji pemain.

Umpama misi serampang dua mata, barisan kejurulatihan mahu melihat sejauh mana pemain-pemain yang dipanggil pertama kali boleh beraksi di pentas antarabangsa serta menuruti corak yang diterapkan Kim Swee.

"Kemampuan pemain untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan bimbingan Kim Swee akan diuji.

"Oleh itu, kami perlukan sebuah pasukan yang mantap dan inilah hasilnya menerusi pemantauan dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) di Perak," katanya.

Mengenai saingan Piala AFF 2018, dia bangga melihat perkembangan pemain B-23 yang kini jadi nadi dalam skuad kebangsaan seperti Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan Safawi Rasid.

Namun, dia mahu mereka menanam azam lebih tinggi dengan cuba mencipta sejarah membawa pulang trofi Piala AFF selepas tempoh lapan tahun.

"Kami bangga melihat perkembangan pemain-pemain muda yang mula mendapat tempat dalam skuad senior.

"Tetapi, saya harap mereka usahlah setakat dipanggil sahaja, sebaliknya cuba berusaha untuk mendapat keputusan positif bersama pasukan kebangsaan," katanya.