Slot dalam kesebelasan utama menjadi sasaran penyerang negara, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, dalam aksi pembukaan Piala Newspaper di Hue City, Vietnam, petang esok.

Walaupun pada awalnya bergelut dengan corak latihan Datuk Ong Kim Swee, Izzan Syahmi menyifatkan dia sudah bersedia mengetuai serangan skuad B-21 Malaysia.

Semangatnya dibantu kesediaan Kim Swee memberi minit permainan dengan Malaysia membariskan majoriti pemain daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

"Semua pemain akan diberi peluang bermain. Jadi, saya mahu memanfaatkan kesempatan itu dengan memberikan aksi terbaik.

"Malah, saya turut membawa misi peribadi untuk terus berada dalam perancangan skuad negara, termasuk kelayakan Olimpik tahun depan," jelasnya.

Skuad B-21 negara akan memulakan saingan Piala Newspaper menentang wakil Korea Selatan, Gimhae CFC, esok, sebelum bertemu Vietnam (Jumaat) dan Myanmar dua hari kemudian.

Sementara itu, Izzan Syahmi, 21, yang juga tonggak Terengganu FC (TFC) III yang muncul juara Piala Presiden, mengesahkan akan menyertai TFC II bagi musim 2019.

"Tahun ini agak baik bagi saya bersama TFC III, kemudian menyertai Sukma dan mendapat panggilan skuad negara sebanyak tiga kali.

"Ia tidak mengganggu fokus, sebaliknya menyuntik semangat menghadapi musim yang lebih mencabar bersama Terengganu dan skuad kebangsaan," tambahnya.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)