MADAGASCAR 0 TUNISIA 3

Tunisia menempah tempat dalam separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019 dengan kemenangan 3-0 untuk mengakhiri cabaran Madagascar yang penuh kejutan, awal pagi tadi.


Pasukan kendalian Alain Giresse itu mungkin menjangkakan satu ujian hebat daripada Madagascar yang mengetuai peringkat kumpulan di depan Nigeria dan kemudian menyekat Republik Demokratik Congo dalam pusingan 16 menerusi penentuan penalti.

Bagaimanapun, Tunisia mempamerkan dominasi di Kaherah, Mesir apabila melancarkan asakan bertubi-tubi sebelum jaringan Ferjani Sassi mengubah situasi.

Selepas tiada tanda-tanda kebangkitan lawan, ketua pasukan, Youssef Msakni, menggandakan kelebihan Tunisia, sebelum Naim Sliti menambah gol ketiga pada lewat permainan untuk menempah pertemuan separuh akhir dengan Senegal.

Dalam permainan terbuka dan menghiburkan itu, Sassi hampir membuka tirai gol perlawanan dengan gerakan hebat tetapi percubaannya dari penjuru kotak penalti melewati pintu gol.

Namun, kedua-dua pasukan gagal menjelmakan ancaman sebenar sebelum tendangan bebas Wahbi Khazri pada minit ke-32 ditepis Melvin Adrien untuk menggegar palang.

Tunisia menyangka mereka telah memecahkan kebuntuan pada awal babak kedua tetapi jaringan Khazri itu dikesan ofsaid ketika menyambut hantaran Yassine Meriah.

Begitupun, mereka tidak perlu menunggu lama apabila Sassi sekali lagi beroleh peluang keemasan dari jarak 20 meter dan kali ini, dia memanfaatkan percubaan awal Thomas Fontaine untuk menghukum penjaga gol lawan.

Msakni kemudian memilih penjuru bawah kiri untuk melebarkan kedudukan Tunisia selepas Adrien mematahkan percubaan Khazri sebelum Sliti memutlakkan kemenangan tersebut pada minit ke-93.