Piala Negara-Negara Afrika: Senegal enggan dabik dada jumpa Tunisia 

Oleh Staff Writer 14 Julai 2019 983
Piala Negara-Negara Afrika: Senegal enggan dabik dada jumpa Tunisia 
Senegal tidak akan memandang rendah keupayaan Tunisia apabila berikrar untuk menjulang Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019 buat kali kedua. 

The Lions menundukkan Benin 1-0 hasil jaringan tunggal Idrissa Gueye pada minit ke-69 untuk mara ke separuh akhir dengan reputasi tidak dibolosi dalam empat aksi kejohanan di Mesir itu.

Hanya Algeria yang berjaya merobek gawang Senegal setakat ini tetapi mereka perlu menghadapi Tunisia (12 tengah malam ini waktu Malaysia), yang masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Madagascar di peringkat suku akhir.

Jurulatih Senegal, Aliou Cisse, menjangkakan satu lagi cabaran hebat apabila memberitahu sidang akhbar: "Tunisia adalah pasukan mantap yang melakukan perkara yang menarik. Kami tidak akan memandang rendah kepada sesiapa dan tumpuan kami sama sekali tidak akan kendur. 

"Masih ada dua perlawanan untuk dihadapi. Kami datang ke sini dengan cita-cita, kami sudah mencapai misi ke suku akhir dan kami akan terus merendah diri. 

"Kami belum mencapai tahap ini sejak 2006. Sudah 13 tahun berlalu, jadi ini adalah satu perkembangan positif. 

"Kami tidak akan mendabik kerana saya percaya ini adalah satu tindakan profesional yang hebat, saya sentiasa yakin dengan usaha yang kami lakukan."

Tunisia memberikan persembahan mengagumkan dalam babak kedua untuk mengetepikan cabaran Madagascar apabila melakar dua gol dalam tempoh lapan minit sebelum Naim Sliti menambah satu gol lagi pada penghujung babak kedua.

"Kami adalah pasukan pertama yang mengalahkan Madagascar," kata ketua pasukan Tunisia, Alain Giresse. 

"Ini membuktikan kualiti pasukan ini dalam pertandingan ini.

"Kami amat berpuas hati untuk berada dalam separuh akhir, peringkat ini telah lama dinanti-nantikan Tunisia.

"Kami perlu menggunakan segala senjata yang ada untuk pertemuan separuh akhir ini dan jelas sekali kami cuba mara sejauh yang mungkin, kami tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kami mahu menamatkan pertandingan ini dengan bergaya," ujarnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen