Mohamed Salah berhak diangkat sebagai salah seorang daripada tiga pemain terbaik dunia, menurut kapten Mesir, Ahmed Elmohamady.

Salah menikmati satu lagi musim yang cemerlang bersama Liverpool dengan meledak 27 gol dalam semua kejohanan untuk membantu pasukannya menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL).

Kini, penyerang itu akan memimpin Mesir untuk memburu gelaran kelapan Piala Negara-Negara Afrika bermula awal pagi Sabtu ini.

Elmohamady berkata Salah berhak dalam kalangan pemain terbaik dunia, seiring dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

"Salah kini salah seorang daripada tiga pemain terbaik dunia. Ini merupakan satu lonjakan buat negara dan pasukan Mesir," katanya.

"Kehadiran Salah mampu meningkatkan kualiti mana-mana pasukan. Semua orang menjangkakan persembahannya, jadi kehaidran Salah bersama Mesir adalah sangat bagus.

"Setiap pemain memiliki kelebihan dan peranan bersama skuad Mesir.

"Kami bermain sebagai satu pasukan. Tahap keyakinan positif hadir dalam pasukan dengan impak yang dibawa oleh Salah," katanya lagi.

Tuan rumah, Mesir, akan membuka saingan Piala Negara-Negara Afrika berdepan Zimbabwe.