Persekutuan Bolasepak Nigeria (NFF) mengesahkan barisan pemain akan menerima bonus lumayan untuk aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019 menentang Algeria, hari ini (3 pagi waktu Malaysia).

Laporan mencadangkan tokoh perniagaan negara itu, Aliko Dangote dan Femi Otedola, akan membiayai dana itu berikutan perbalahan di antara pemain Super Eagles dan NFF berhubung soal bonus dan elaun tidak dibayar yang masih berlarutan.

Pemain mengancam untuk melancarkan mogok menjelang sepak mula kempen itu, termasuk enggan menghadiri sidang media pra-perlawanan menjelang pertemuan terakhir Kumpulan B menentang Guinea ekoran bonus yang tidak dibayar selepas merakam kemenangan 1-0 ke atas Burundi.

Dalam satu kenyataan di akaun Twitter rasmi, NFF memberitahu: "Semakin ramai penyokong Nigeria menawarkan bantuan kewangan demi meningkatkan semangat Super Eagles, dengan dua tokoh perniagaan berjanji untuk memberikan pasukan $50,000 (RM 205,650) untuk setiap gol yang disumbat ke atas Algeria."

Nigeria lolos ke separuh akhir dengan mengalahkan Afrika Selatan 2-1 dalam aksi sengit suku akhir apabila William Troost-Ekong menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.