NIGERIA 1 GUINEA 0

Nigeria muncul pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati Piala Negara-Negara Afrika apabila gol Kenneth Omeruo memastikan kemenangan 1-0 ke atas Guinea dalam aksi Kumpulan B, awal pagi tadi.


The Super Eagles memecah kebuntuan apabila Omeruo menanduk masuk sepakan penjuru Moses Simon pada minit ke-73 dalam satu pertembungan hambar di Iskandariah, Mesir.

Pemain tengah Liverpool, Naby Keita, kembali cergas untuk memperkuatkan negaranya dalam kesebelasan utama sejak terpinggir awal Mei lalu, namun gagal mencetuskan inspirasi kepada Guinea yang berdepan bahaya tersingkir awal.

Penjaga gawang Guinea, Ibrahim Kone, menjadi wira apabila menyelamatkan dua percubaan menarik Alex Iwobi tetapi persembahannya itu terbukti sia-sia apabila tandukan Omeruo mengakhiri kemarau kemenangan Nigeria ke atas skuad Syli Nationale itu dalam empat perlawanan.

Selepas muncul sebagai pemain gantian ketika Guinea seri dengan Madagascar, Keita hampir membuat permulaan memberangsangkan dengan mencipta gerakan gol, namun Sory Kaba gagal memanfaatkan umpanan lolos perancang tengah itu.

Guinea terus memberikan tekanan dengan sepakan Francois Kamano tersasar jauh meskipun Nigeria hampir mendahului lebih awal sebelum menutup separuh masa pertama berikutan kecemerlangan Kone menidakkan usaha Iwobi.

Kone sekali lagi menjadi penyelamat pintu gol Guinea selepas sejam permainan untuk mematahkan satu lagi serangan daripada Iwobi.

Khidmat Keita berakhir pada minit ke-71 apabila dia digantikan oleh Lass Bangoura dan benteng Guinea akhirnya roboh jua tidak lama kemudian -- Omeruo melakukan tandukan tipis ke penjuru gol setelah menyambut hantaran Simon.

Guinea cuba bangkit pada lewat permainan namun Nigeria tidak menghadapi masalah besar untuk menjamin tempat mereka dalam pusingan 16 dengan baki satu perlawanan.