NIGERIA 3 CAMEROON 2

Alex Iwobi menjaringkan gol kemenangan Nigeria, yang bangkit daripada ketinggalan, untuk menyingkirkan juara bertahan Piala Negara-Negara Afrika, Cameroon, 3-2 dalam perlawanan pusingan 16 di Iskandariah, awal pagi tadi.


Kedua-dua pasukan berdepan kekecewaan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu untuk menamatkannya selaku pasukan kedua terbaik sebelum bertemu dalam perlawanan penuh aksi itu.

Super Eagles muncul pasukan yang lebih baik untuk berdepan Afrika Selatan dalam pusingan berikutnya, selepas bangkit daripada ketinggalan 1-2 dalam separuh masa.

Stephane Bahoken dan Clinton N'Jie menjaringkan gol pada penghujung babak pertama untuk juara bertahan itu memadamkan jaringan pembukaan Odion Ighalo, namun bekas penyerang Watford itu menjaringkan gol keduanya untuk mengikat kedudukan pada setengah jam terakhir sebelum pemain sayap Arsenal, Iwobi, memastikan kemaraan Nigeria, tiga minit berselang.

Nigeria memenangi enam perlawanan berturut-turut dalam Piala Negara-Negara Afrika sebelum tewas mengejut kepada Madagascar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, namun mereka bermula cemerlang apabila Ighalo menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19.

Kenneth Omeruo melakukan hantaran lintang yang terbias menuju ka arah Ighalo sebelum pemain itu melepaskan rembatan yang menewaskan Andre Onana.

Cameroon, bagaimanapun, menterbalikkan situasi itu sebelum menuju ke waktu rehat dengan Bahoken memainkan peranan utama.

Penyerang Angers itu melakukan voli dari jarak enam ela untuk menjadikan kedudukan 1-1 selepas menerima hantaran Christian Bassogog.

Dia kemudian menghasilkan hantaran jauh yang dimanfaatkan N'Jie untuk menewaskan penjaga gol Nigeria, Daniel Akpeyi.

Namun, juara tiga kali, Nigeria, menonjolkan perwatakan mereka untuk menyamakan kedudukan menerusi penyudah Ighalo dari jarak enam ela dan Iwobi mempunyai ketenangan untuk menewaskan Onana tidak lama selepas itu.

Ighalo hampir menjaringkan hatrik pada 14 minit terakhir perlawanan, namun skuad kendalian Gernot Rohr itu mengekalkan pendahuluan untuk mara ke suku akhir.