Sadio Mane menganggap menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika bersama Senegal akan mengatasi kejayaannya dalam Liga Juara-Juara (UCL) bersama Liverpool.

Pemain berusia 27 tahun itu memainkan peranan utama dalam kejayaan Liverpool pada 2018-19, dengan kemuncaknya adalah kemenangan 2-0 ke atas Tottenham dalam perlawanan akhir UCL di Madrid, bulan lalu.

Bagaimanapun, Mane, yang memulakan kesemua 13 perlawanan Eropah musim lalu, berpeluang untuk mengatasi pencapaian itu dengan memimpin Senegal untuk meraih trofi benua itu buat julung kalinya dalam sejarah penyertaan mereka.

"Segala-galanya terpulang kepada kami untuk mencapai sesuatu yang hebat," katanya kepada France Football.

"Sudah tentu kami merupakan salah satu pasukan pilihan, kami tidak boleh berselindung tetapi ia tidak cukup.

"Untuk membawa kejayaan ke negara saya yang tidak pernah memenangi Piala Negara-Negara Afrika, ia akan menjadi satu kemegahan.

"Saya sedia menukar (kejayaan) UCL demi memenangi Piala Negara-Negara Afrika. Pastinya apabila kami kembali ke Dakar kelak, ia akan menjadi (sambutan yang) luar biasa. Ini adalah impian terbesar saya dan yang paling gila," tambahnya.

Senegal memulakan kempen Kumpulan C dengan kemenangan 2-0 ke atas Tanzania semalam melalui gol Keita Balde dan Krepin Diatta.

Mane, yang terlepas perlawanan pembukaan akibat penggantungan setelah mengumpul dua kad kuning di peringkat kelayakan, mengakui pasukannya mempunyai peluang menarik di Mesir.

"Nasib kami di tangan sendiri," katanya. "Jelas sekali bahawa kami merupakan salah sebuah pasukan pilihan.

"Kami tidak boleh menafikannya. Untuk menang sahaja tidak memadai, kami perlu berada di tahap terbaik dalam setiap perlawanan."

Senegal akan menghadapi Algeria dan Kenya dalam dua lagi perlawanan Kumpulan C.