Piala Negara-Negara Afrika: Mahrez bukan satu-satunya ancaman Algeria -- Kamara

Oleh Staff Writer 11 Julai 2019 889
Piala Negara-Negara Afrika: Mahrez bukan satu-satunya ancaman Algeria -- Kamara
Algeria beraksi cemerlang sepanjang saingan Piala Negara-Negara Afrika edisi ini dengan memenangi setiap perlawanan hingga melangkah ke suku akhir di samping tidak dibolosi sepanjang kejohanan, termasuk kemenangan bergaya 3-0 ke atas Guinea.

Ketika Ivory Coast bakal menghadirkan cabaran yang lebih getir kepada Algeria, The Fennec Foxes kekal sebagai salah satu pasukan pilihan berikutan penyingkiran Mesir dan Maghribi.

Di atas aksi cemerlang Algeria, pemain Manchester City, Riyad Mahrez bertindak sebagai perancang serta peledak jaringan sepanjang kejohanan kali ini.

Pengurus pasukan, Ibrahima Kamara, mahu Ivory Coast mengenal pasti setiap ancaman Algeria, bukan hanya daripada Mahrez.

"Algeria adalah pasukan yang berkualiti. Mereka tidak hanya bermain menerusi Mahrez. Jika benar, pemain-pemain lain hanya perlu berada di bilik persalinan," katanya. 

"Kami bakal berdepan pasukan yang dibarisi pemain-pemain yang sukar untuk ditangani.

"Djamel Belmadi telah melakukan tugas dengan baik sejak mengambil alih pasukan. Saya tidak akan mengatakan mahu mengelak Algeria kerana beraksi di peringkat ini, anda perlu berdepan pasukan yang berkualiti.

"Untuk muncul juara, anda perlu beraksi dalam tujuh perlawanan. Kami telah beraksi sebanyak empat perlawanan, kini berbaki tiga perlawanan lagi."

Pengendali Algeria, Belmadi, pula menggesa pasukannya untuk meneruskan momentum dalam misi melangkah ke final.

"Kami sudah tiba ke peringkat yang lebih tinggi dan bakal berdepan lawan yang sukar. jadi kami perlu berwaspada.

"Algeria masih belum dibolosi sepanjang kejohanan, kami perlu meneruskannya jika mahu mara ke final, sekali gus muncul juara."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen