MALI 1 ANGOLA 0

Gol gemilang Amadou Haidara melayakkan Mali ke pusingan 16, Piala Negara-Negara Afrika sebagai juara Kumpulan E selepas menewaskan Angola 1-0 di Stadium Ismailia, awal pagi tadi.


Pemain tengah RB Leipzig itu melakukan rembatan deras dari jarak 20 ela untuk menewaskan penjaga gol Angola, Tony Cabaca, dalam babak pertama yang sudah cukup untuk memastikan Mali menempah pertemuan dengan Ivory Coast dalam pusingan kalah mati.

Angola gagal memperoleh jaringan penyamaan yang memungkinkan mereka menjadi salah satu pasukan di tangga ketiga terbaik dan kekalahan itu turut memastikan kemaraan Afrika Selatan.

Skuad kendalian Srdjan Vasiljevic itu hampir memecah kebuntuan seawal minit keempat apabila Mateus memberikan umpanan kepada Gelson Dala dalam kotak penalti, namun sepakan lemah penyerang itu mudah diselamatkan penjaga gol Mali, Djigui Diarra.

Falaye Sacko kemudian menghasilkan percubaan dari jarak 20 ela yang ditolak keluar Cabaca sebelum Kalifa Coulibaly menghasilkan percubaan yang tersasar pada setengah jam pertama permainan.

Jaringan yang ditunggu-tunggu Mali akhirnya tiba pada minit ke-37 apabila Haidara merembat kencang percubaan jarak jauh bagi menewaskan Cabaca yang hanya terpegun dengan jaringan itu.

Angola memasukkan Show dan Wilson Eduardo pada minit ke-52, namun gandingan itu gagal menyudahkan tiga peluang yang diperoleh.

Gelson turut mengecewakan menerusi situasi hampir sama di depan gawang sebelum Cabaca terpaksa merebahkan badan ke sebelah kanan gawangnya untuk menafikan percubaan Adama Traore pada minit ke-78.