SENEGAL 1 BENIN 0

Sadio Mane dan Idrissa Gueye bergandingan untuk menembusi benteng pertahanan Benin ketika memastikan pilihan juara Piala Negara-Negara Afrika, Senegal, meraih kemenangan 1-0 untuk melangkah ke separuh akhir.


Senegal lolos dengan kemenangan tipis ke atas Uganda dalam pusingan 16 dan mereka sekali lagi dipaksa bekerja keras dalam memastikan harapan untuk bergelar juara Afrika buat kali pertama ketika mengatasi Benin, pagi tadi.

Hampir 60 minit pertama di Kaherah menyaksikan pergerakan Mane disekat, dengan skuad kendalian Aliou Cisse itu menggandakan asakan apabila berjaya meledak jaringan kemenangan ketika permainan berbaki 21 minit menerusi pemain tengah Everton, Gueye.

Gueye melakukan pertukaran hantaran dengan Mane sebelum menyudahkan jaringan untuk menghantar pasukan ke separuh akhir berdepan di antara Madagascar atau Tunisia di samping menghentikan perjalanan Benin, yang terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Olivier Verdon diarah keluar padang.

Benin memberikan tumpuan untuk mematahkan asakan lawan dalam separuh masa pertama tetapi Senegal berjaya memiliki beberapa peluang menghasilkan percubaan.

Rembatan M'Baye Niang dan Gueye dihalang manakala Youssouf Sabaly gagal melakukan lorongan kepada Mane untuk menampan masuk jaringan buat Senegal.

Kekecewaan Mane berterusan pada permulaan separuh masa kedua apabila jaringannya ditarik balik kerana berada di kedudukan ofsaid.

Tetapi penyerang Liverpool itu berusaha dan memainkan peranan penting dalam mendapatkan jaringan kemenangan apabila menemui ruang buat Gueye.

Verdon dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Gueye pada minit ke-82, sekali gus menyaksikan penampilan Benin di peringkat suku akhir berakhir dengan kekalahan.