Pemain remaja negara, Ahmad Zamil Zaqwan, mahu menggunakan pengalaman di China untuk membantu skuad kebangsaan memburu kemenangan dalam Kejohanan Piala Global Yakult B-12.

Sebelum ini, dia merupakan antara tonggak yang membantu skuad B-12 negara meraih tempat ketiga dalam Piala Soong Ching Ling di China dan kini tumpuan Zamil terarah untuk mencapai keputusan positif di Osaka, Jepun.

Zamil yang beraksi di posisi penyerang menganggap pemilihannya mewakili Malaysia untuk berentap dalam kejohanan yang bermula esok sebagai persediaannya menjadi pemain berkaliber pada masa akan datang.

"Saya nak buktikan boleh menonjol dalam perlawanan. Saya rasa bangga dapat bertemu kawan dan meraih pengalaman baru," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain muda, Fitri Haikal Fairul Rizal, mengakui saingan di Osaka merupakan peluang terbaiknya untuk menimba pengalaman bagi membantunya mencapai impian bergelar pemain bolasepak profesional , satu hari nanti.

"Saya serius mahu melakukannya dan tidak mahu melepaskan peluang. Saya mahu membanggakan ibu-bapa serta mencapai kemenangan," katanya.

Seramai 22 pemain selamat tiba di negara matahari terbit itu hari ini sebelum berentap dalam kejohanan itu yang disertai beberapa pasukan ternama Asia seperti Cerezo Osaka dan Fagiano Okayama.