Jurulatih skuad Malaysia Warrior, Redzuan Mustapa, mengakui kesuntukan masa untuk membentuk persefahaman dalam pasukannya, namun enggan menjadikan ia sebagai alasan bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Global Yakult B-12 hujung minggu ini.

Seramai 22 pemain tiba di ibu negara bagi menjalani sesi latihan pertama di Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum berlepas ke Osaka, hari ini.

Skuad muda itu kesuntukan masa untuk menjalani latihan rapi apabila masing-masing baru sahaja menamatkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.

Redzuan berharap barisan pemainnya mampu memperoleh keserasian dan persefahaman dalam tempoh singkat memandangkan mereka hanya memiliki satu sesi latihan di Osaka esok.

"Pemain semua sudah sedia maklum, walaupun kami tidak dapat mengumpulkan (mereka), ramai antara mereka yang sudah terlibat dengan Akademi Tunas di mana kami adakan latihan tiga kali seminggu.

"Cuma, daripada segi persefahaman, kami baru berkumpul sekali," katanya.

Dalam pada itu, dia menganggap kejohanan berkenaan merupakan peluang terbaik buat anak buahnya untuk meluaskan pengalaman selepas mengungguli Kejohanan Piala Global Yakult peringkat kebangsaan.

"Mungkin kami boleh belajar sesuatu di sana.

"Macam yang kita sedia maklum, daripada segi persiapan, pemain semua baru selesai peperiksaan UPSR.

"Kami kesuntukan masa dan hanya mencuba untuk buat yang terbaik.

"Saya harap ada sesuatu yang istimewa di Jepun," tambahnya.