Penjaga gol Malaysia Warrior, Muhammad Izzat Faiz Ramli, mahu menjadikan rekod tanpa dibolosi dalam dua perlawanan pertama sebagai sumber motivasi bagi membantu pasukannya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Global Yakult.

Pasukan itu meraih kemenangan berharga dengan menundukkan dua wakil tuan rumah, iaitu Nagaoka (7-0) dan Seino City FC (4-0), untuk menempa laluan ke suku akhir kejohanan di Osaka, Jepun berkenaan.

Baginya, rekod bersih itu diraih hasil kerjasama seluruh sepasukan dan jurulatih, sekali gus mahu mengekalkan kecemerlangan itu bagi memburu kejuaraan.

"Saya berasa sungguh gembira kerana tidak dibolosi.

"Saya berjanji akan mengekalkan rekod ini kerana sasaran kami mahu menjuarai kejohanan ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Muhammad Amir Asyraaf Yusnizam, bertekad untuk terus membantu pasukannya selepas mencetakkan tiga gol dalam dua perlawanan peringkat kumpulan.

"Saya berdoa sebelum perlawanan.

"Ibu, bapa dan jurulatih turut memberikan sokongan.

"Saya yakin pasukan ini boleh buat yang terbaik untuk Malaysia," katanya.