Ketua jurulatih Malaysia Warrior, Mohd Redzuan Mustapa, memuji semangat juang anak buahnya selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Fagiano Okayama, 2-1 dalam aksi peringkat Kumpulan B, Kejohanan Piala Global Yakult B-12, hari ini.

Malaysia Warrior tewas dalam perlawanan pertama menentang Dream sebelum bangkit dalam dua aksi kemudian, iaitu ke atas Nanko dan Fagiano Okayama yang merupakan antara pasukan ternama di Jepun.

Dengan tempoh latihan yang singkat, Redzuan berpandangan keputusan itu perlu dipuji selain berharap barisan pemain dapat mengekalkan momentum dalam baki dua saingan peringkat kumpulan esok.

"Pemain-pemain telah cuba yang terbaik walaupun mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan padang.

"Saya bersyukur di atas dua kemenangan yang diraih," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia Tiger, P. Ganasamurthy, berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan oleh barisan pemain meskipun hanya memperoleh satu kemenangan daripada tiga perlawanan hari ini.

Perlawanan pertama menyaksikan Malaysia Tiger tewas kepada wakil tuan rumah, Cerezo Osaka, 0-2 sebelum bangkit dengan kemenangan besar ke atas Sakurada 7-0 tetapi kemudian tumpas 3-4 dalam aksi ketiga menentang Tokushima Voltis.

"Secara keseluruhan, saya melihat kepada sudut mutu permainan dan prestasi mereka.

"Berdepan lawan yang lebih berpengalaman, pemain-pemain berusaha untuk menyesuaikan diri dalam apa-apa situasi," kata Ganasamurthy.