Pengendali skuad B-12, Malaysia Warrior dan Malaysia Tiger, P. Ganasamurthy, optimis anak buahnya sedia memberi saingan sengit kepada pasukan lain meskipun hanya menjalani dua sesi latihan menjelang Kejohanan Piala Global Yakult B-12 2019 di Osaka, Jepun.

Berdasarkan prestasi dalam dua sesi latihan berkenan, beliau tidak mempunyai keraguan mengenai persefahaman antara pemainnya.

Barisan pemain muda negara baru menamatkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin, sekali gus kesuntukan masa untuk menjalani latihan rapi untuk membentuk gandingan mantap dalam kalangan rakan sepasukan.

"Mereka mampu memberikan permainan yang baik kerana telah beraksi bersama-sama dalam tempoh yang lama," katanya dalam sesi latihan di Jepun, hari ini.

Ganasamurthy, yang turut bertindak sebagai panel pencarian bakat Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), menganggap keputusan itu menjadi soal kedua kerana apa yang lebih penting adalah peluang pendedahan buat anak buahnya menimba pengalaman.

"Saya inginkan persembahan yang baik daripada pemain berbanding kejohanan terdahulu. Sudah tentu keputusan baik adalah satu bonus."

Jadual perlawanan esok:

Malaysia Warrior lwn Dream
Malaysia Tiger lwn Cerezo

Malaysia Warrior lwn Nanko Southman FC
Malaysia Tiger lwn Sakurada

Malaysia Warrior lwn Fagiano
Malaysia Tiger lwn Tokushima Voltis