Pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, mempunyai alasan untuk berasa gembira malam tadi selepas anak-anak buahnya mencipta dua gol sebagai bekalan melayan Kuching FA di Stadium UKM, Bangi pada 27 September kelak.

Begitupun, Sulaiman tidak mahu berlagak bongkak kerana baginya, selagi bola masih bergolek selama 90 minit, tiada jaminan pasukannya akan menang.

"Memang kami harus berasa selesa selepas berada di hadapan dengan dua gol.

"Namun saya janjikan aksi dalam pusingan kedua suku akhir kelak padat dengan cubaan dan serangan bermati-matian," katanya.

Katanya, dalam aksi bertemu Kuching FA di Stadium Negeri malam tadi, beliau tidak menyangka pasukan juara Liga Bola Sepak Rakyat pertama itu mampu menghadirkan saingan sengit.

"Mereka bermain dengan cukup agresif dan semangat yang luar biasa.

"Sepuluh minit pertama, kami agak tertekan, namun pemain-pemain cepat menguasai kembali keadaan hingga akhirnya dapat menghadirkan peluang-peluang yang menarik."

Kata Sulaiman lagi, penguasaan bahagian tengah dan sayap banyak membantu dalam merancang serangan hingga pasukannya berjaya menyumbat dua gol.

"Saya berterima kasih kepada Muhammad Hasrul Nurkholis Hasim atas gol yang dijaringkannya, yang memberikan kami kelebihan serta mengurangkan tekanan untuk pusingan kedua kelak.

"Saya kagum dengan dia (Hasrul) kerana memberi komitmen yang tinggi di sebalik tekanan yang dialaminya," katanya lagi.

Hasrul baharu sahaja melangsungkan perkahwinan pada hujung Ogos lalu dan selama dua minggu selepas itu terpaksa direhatkan kerana kecederaan.

"Namun, dia berazam untuk pulih menjelang perlawanan ini dan akhirnya menghadiahkan gol untuk sebelah kaki kami berada dalam separuh akhir Piala FAM, " tambahnya lagi.