Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Daud, mengesahkan pihaknya sedang berunding dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan Piala Empat Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

Stadium Nasional Bukit Jalil tidak digunakan sejak acara final Piala Suzuki AFF, Disember lalu.

PSM dan FAM kini berada dalam fasa akhir untuk memuktamadkan pemilihan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai venue penganjuran kejohanan edisi pertama itu yang turut membabitkan New Zealand, Oman dan Singapura.

"Kami sedang berbincang dengan FAM. Piala Empat Negara akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. FAM memiliki program yang akan diberitahu untuk menjalani lebih banyak permainan di situ," kata Nik Razeen.

Selain di Bukit Jalil, FAM turut mempertimbangkan Stadium Shah Alam sebagai venue kejohanan.

Nik Razeen yang dilantik selaku CEO baru PSM minggu lalu turut merancang penambahbaikan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Kami sedang merancang bersama FAM serta badan sukan nasional lain untuk membuat satu muzium sambil mewujudkan lawatan stadium seperti di luar negara."