Tuan rumah, Perancis, mara ke pusingan 16 Piala Dunia Wanita 2019 sebagai juara Kumpulan A dan Jerman menyusul jejak itu dalam Kumpulan B, pagi tadi.

Norway, China dan Sepanyol turut mengesahkan tempat dalam pusingan kalah mati tetapi Nigeria pula perlu menghitung nasib mereka selepas tewas tipis kepada Perancis di penghujung perlawanan.

Gol ketiga Wendie Renard dalam temasya itu ialah ketika merakam kemenangan 1-0 di Rennes yang menyaksikan pertahanan itu menyempurnakan dua tendangan penalti selepas penjaga gol, Chiamaka Nnadozie, terlebih dahulu dihukum kerana melintasi garisannya ketika mahu menyelamatkan percubaan pertama.

Aksi itu juga menyaksikan Ngozi Ebere dibuang padang selepas insiden berkenaan diperiksa melalui video bantuan pengadil (VAR) untuk Nigeria menduduki tempat ketiga di depan Korea Selatan.

Norway pula memastikan tempat dalam pusingan seterusnya dengan menundukkan Korea 2-1 hasil daripada dua penalti.

Penalti Caroline Graham Hansen yang disempurnakan pada minit kelima muncul penalti terpantas dalam sejarah Piala Dunia Wanita sebelum Isabell Herlovsen menggandakan kedudukan Norway.

Korea Selatan bangkit melalui gol Yeo Min-ji tetapi mereka tersingkir daripada kejohanan tanpa sebarang mata.

Tiga kemenangan bersih Jerman membantu mereka menguasai Kumpulan B dan mereka sekali lagi menang tanpa dibolosi dengan membelasah Afrika Selatan 4-0, sekali gus menamatkan harapan Banyan Banyana untuk meneruskan perjuangan.

Dalam satu lagi perlawanan penutup Kumpulan B, China dan Sepanyol mara ,ke pusingan 16 dan seperti yang dijangkakan, pertemuan kedua-dua pasukan di Le Havre sudah diramalkan.

Sepanyol melancarkan 24 percubaan namun gagal menembusi penjaga gol China, Peng Shimeng, yang memperagakan prestasi mengagumkan untuk memastikan mereka ke peringkat kalah mati buat kali tujuh dalam tujuh penyertaan.

Pasukan di tangga ketiga peringkat kumpulan akan merebut dua slot terbaik untuk ke pusingan 16.