PERANCIS 2 NORWAY 1

Jaringan penalti kontroversi Eugenie Le Sommer menyelamatkan pasukan tuan rumah, Perancis, untuk menewaskan Norway 2-1 selepas Wendie Renard terjaring gol ke gawang sendiri dalam Piala Dunia Wanita, awal pagi tadi, sekali gus mara ke pusingan kalah mati.


Perlawanan itu berlangsung sengit seperti yang dijangkakan selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan dalam perlawanan pembukaan, namun Perancis lebih bernasib baik untuk layak ke pusingan berikutnya dengan sepakan penalti Le Sommer menjadi pemisah.

Walaupun pasukan tuan rumah itu bergelut sepanjang babak pertama, mereka memberikan asakan awal ke kubu Norway dalam babak berikutnya untuk Valerie Gauvin membuka jaringan.

Renard, bagaimanapun, terjaring bola ke gawang sendiri tidak lama selepas itu, namun Perancis mengekalkan fokus untuk Le Sommer tenang menyempurnakan peluang penalti yang diberikan hasil video bantuan pengadil (VAR) walaupun Norway membantah keras keputusan itu.

Norway bermula baik dan hampir membuka jaringan pada minit ke-14, namun percubaan Ingrid Syrstad Engen terkena palang sebelum dikeluarkan Amel Majri sebelum bola sempat melintasi garisan gol.

Perancis memberikan respons dengan Gauvin melakukan kuisan tumit daripada hantaran Kadidiatou Diani tetapi tidak cukup kuat untuk menewaskan penjaga gol Norway, Ingrid Hjelmseth.

Norway menamatkan separuh masa pertama selaku pasukan yang lebih baik dengan percubaan Ingrid Moe Wold diselamatkan penjaga gol Perancis, Sarah Bouhaddi, namun Les Bleus membuka jaringan pada permulaan babak kedua selepas Gauvin menemui hantaran Majri dari sebelah kiri untuk menewaskan Hjelmseth.

Bagaimanapun, gol sendiri daripada Renard memadamkan kelebihan itu apabila bintang Lyon berkenaan tertampan bola umpanan Isabell Herlovsen ke gawang sendiri.

Namun, Le Sommer memadam kesedihan rakan sepasukannya itu pada 18 minit terakhir perlawanan dengan menyudahkan sepakan penalti selepas Engen menjatuhkan Marion Torrent.

Jaringan itu memastikan Perancis mengumpulkan enam mata daripada dua perlawanan untuk layak ke pusingan berikutnya.