Belanda menempah tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia Wanita 2019 hasil kemenangan 3-1 ke atas Cameroon manakala Kanada menundukkan New Zealand 2-0 di Perancis, awal pagi tadi.

Meskipun angka jaringan itu tampak lebih mudah berbanding kemenangan 1-0 ke atas New Zealand yang lalu, Belanda masih perlu bermandi peluh untuk memastikan Cameroon tersingkir awal.

Vivianne Miedema membuka jaringan melalui tandukan kencang pada minit ke-41 tetapi Cameroon segera bangkit apabila Gabrielle Onguene memperdayakan penjaga gol, Sari van Veenendaal.

Belanda kembali mendahului sebaik permainan bersambung setelah Dominique Bloodworth menolak masuk bola dalam kekalutan di depan pintu gol.

Miedema kemudian mengesahkan mata penuh dengan rembatan yang melepasi Annette Ngo Ndom untuk mengukir namanya selaku penjaring terbanyak Belanda dengan 60 gol dalam 77 perlawanan pada usia 22 tahun.

Kanada pula tidak berdepan kesukaran ketika menumbangkan New Zealand di Grenoble.

Walaupun separuh masa pertama sengit, Kanada kelihatan lebih mengancam di jentera serangan dan akhirnya mereka memecah kebuntuan selepas rehat -- Jessie Fleming menyempurnakan gerakan yang diilhamkan Nichelle Prince.

Kedua-dua pasukan, bagaimanapun, mengendurkan permainan dan Prince berpeluang untuk mencetak nama selaku penjaring pada lewat permainan selepas menghidu tandukan Christine Sinclair dari jarak dekat.

Belanda dan Kanada akan membuat perhitungan, Jumaat depan, untuk menentukan kedudukan teratas Kumpulan E.