JERMAN 1 SEPANYOL 0

Jerman meneruskan permulaan sempurna dalam Piala Dunia Wanita selepas menewaskan Sepanyol 1-0 di Valenciennes, awal pagi tadi.


Pemain tengah, Sara Dabritz, memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan pada awal babak kedua untuk memastikan tiga mata penuh buat juara Sukan Olimpik itu.

Jerman akan layak ke pusingan kalah mati andai perlawanan di antara Afrika Selatan dan China, awal pagi esok berakhir seri.

Selepas memenangi perlawanan pembukaan, Sepanyol masih mampu untuk layak ke pusingan berikutnya andai menewaskan China, awal pagi Selasa ini.

Sepanyol melakukan lebih banyak percubaan ke gawang lawan dengan penguasaan permainan yang lebih baik, namun terpaksa membayar harga mahal setelah terlepas peluang untuk menewaskan Jerman, yang beraksi tanpa tonggak tengah, Dzsenifer Marozsan, yang patah tulang kaki sewaktu menewaskan China dalam perlawanan pembukaan.

Nahikari Garcia sepatutnya meletakkan Sepanyol di depan ketika dia melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan yang tersasar dari gawang Almuth Schult.

Sepanyol kembali memberikan ancaman menerusi percubaan Silvia Meseguer, namun Jerman meningkatkan permainan sebelum memecahkan kebuntuan pada tiga minit terakhir babak pertama hasil jaringan Dabritz yang turut dibantu kelalaian barisan pertahanan Sepanyol.

Penjaga gol La Roja, Sandra Panos, hanya mampu menolak tandukan Alexandra Popp kembali ke kawasan bahaya sebelum kapten, Marta Torrejon, yang berada di 'back-post' sepatutnya mudah mengeluarkan bola berkenaan.

Namun, dia teragak-agak untuk melakukannya sebelum Dabritz menyusup masuk untuk menyudahkan peluang terhidang.

Sepanyol menguasai permainan dalam babak kedua, namun buntu untuk memecahkan keampuhan pertahanan Jerman untuk akur gagal melakukan sebarang percubaan tepat selepas minit ke-47.

Marina Hangering menghasilkan percubaan terakhir buat Jerman yang tersasar untuk pasukannya meraih kemenangan 1-0 buat kali kedua.