ENGLAND 3 CAMEROON 0
Jurulatih Cameroon, Alain Djeumfa, mempertahankan barisan pemainnya ekoran tindak balas mereka terhadap keputusan video bantuan pengadil (VAR) dalam kekalahan 0-3 kepada England dalam Piala Dunia Wanita 2019, awal pagi tadi, dengan menyifatkan mereka sebagai mangsa kepada "kesilapan dalam keadilan".
The Indomitable Lioness secara beremosinya merayu kepada pengadil yang membenarkan gol kedua England dan beberapa pemain Cameroon mula menangis sebaik gol mereka dibatalkan akibat ofsaid sebelum babak pertama berakhir dalam pertembungan pusingan 16 itu.
Djeumfa sempat melancarkan protes di tepi padang ketika dia dan kakitangannya memberi reaksi terhadap perlawanan itu berikutan segala-galanya sepertinya tidak memihak kepada Cameroon.
Tetapi dia tidak bersetuju dengan penilaian jurulatih England, Phil Neville, bahawa tingkah-laku pemainnya adalah "sukar diterima".
Pengendali wakil dari Cameroon berkenaan diminta memberi respons kepada cadangan bahawa insiden perkauman telah mencetuskan protes berkenaan, sebaliknya dia menjelaskan kepada wartawan: "Tidak, saya baru sahaja mengatakan ia adalah satu kesilapan dalam keadilan.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya. Ini adalah bola sepak, ia adalah sukan dan kadang-kadang pengadil membuat kesilapan tetapi malam ini, mereka membuat banyak kesilapan.
"Pemain tidak pernah menghentikan dan enggan meneruskan permainan.
"Pemain saya merupakan contohnya kerana kadang-kadang apabila anda berada dalam keadaan terkejut, anda boleh hilang kesabaran.
"Saya tidak fikir barisan pemain saya enggan meneruskan aksi dan saya fikir mereka telah menunjukkan profesionalisme."
Gol awal England disumbangkan Steph Houghton sebelum jaringan kedua oleh Ellen White menerima protes apabila didakwa ofsaid tetapi pengadil, Liang Qin, mengesahkannya melalui VAR.
Aksi semakin tegang apabila ada pemain England yang tumbang selepas dikasari, termasuk disiku selain diludah.
Ketika Cameroon seakan-akan enggan meneruskan permainan sebagai tanda protes, Alex Greenwood memberikan gol ketiga buat England.
Dalam masa yang sama, Amandine Henry menjadi wira tuan rumah, Perancis, apabila jaringannya pada masa tambahan, minit ke-106, membuatkan Brazil berputih mata dengan kemenangan 2-1.
Pertembungan yang menghiburkan itu menyaksikan Valerie Gauvin menghasilkan gol pada awal babak kedua sebelum Brazil memadamkan kelebihan tersebut walaupun hampir digugat VAR.
Penulis Jemputan
Mon Jun 24 2019