CHINA 1 AFRIKA SELATAN 0

China melakar kemenangan 1-0 ke atas Afrika Selatan, sekali gus memastikan pendahulu Kumpulan B, Jerman, dan tuan rumah, Perancis, menjadi pasukan pertama layak ke pusingan 16, Piala Dunia Wanita 2019.


Li Ying berusaha keras menyudahkan umpanan Zhang Rui bagi memperoleh jaringan tunggal perlawanan pada lima minit terakhir babak pertama di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Kedua-dua negara itu tewas dalam perlawanan pembukaan dengan pendatang baru, Afrika Selatan, kekal tanpa sebarang mata manakala naib juara edisi 1999, China, bangkit daripada kekalahan pertama di tangan Jerman.

Keputusan itu bermakna Jerman, yang juga juara Sukan Olimpik, sah akan menduduki dua tempat teratas Kumpulan B untuk ke pusingan kalah mati manakala pendahulu Kumpulan A, Perancis, akan meneruskan kemaraan sebagai salah satu pasukan terbaik di tangga ketiga sekalipun jika tewas perlawanan terakhir.

Selepas beberapa peluang dalam babak pertama, Ying memperoleh jaringan selepas usahanya mendapatkan bola umpanan lintang Zhang dari sebelah kanan.

Usaha itu memerangkap penjaga gol Afrika Selatan, Kaylin Swart, yang tidak menduga pemain itu akan menggunakan lututnya untuk menjaringkan gol.

China hampir menambah satu lagi gol berselang dua minit apabila tandukan Wang Shanshan terkena bahagian dalam palang, namun ia tidak melintasi garisan gol.

Afrika Selatan gagal mencari gol penyamaan dalam babak kedua, dengan China lebih memberikan asakan pada penghujung permainan apabila tandukan Han Peng ditolak keluar Swart, yang turut melakukan satu lagi aksi menyelamat menarik ketika menafikan usaha pemain gantian, Yang Li, pada minit terakhir.

Kemenangan itu memberikan tiga mata pertama buat China untuk menyaingi pasukan di tangga kedua, Sepanyol, dengan mata yang sama.

China adan Sepanyol akan bertemu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Le Havre, awal pagi Selasa ini.

Afrika Selatan pula, yang tewas 1-3 kepada Sepanyol dalam perlawanan pertama, akan bertemu Jerman di Montpellier pada hari yang sama.